BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Wednesday, October 13, 2010

ASPEK YANG DINILAI DALAM KEMAHIRAN MENULIS DALAM BAHASA MELAYU

Ujian Berbentuk Esei

Ujian esei dapat dibahagikan kepada dua bentuk iaitu, bentuk esei yang mempunyai jawapan terhad atau tidak terhad. Telah dikatakan di atas bahawa objektif membawa dua makna, iaitu: perkara yang diuji dan pemarkahan yang tidak terpengaruh oleh pilihan atau fikiran pemarkah. Ujian berbentuk esei juga boleh diberi markah secara objektif, tetapi biasanya agak sukar dan pemarkah cenderung untuk menjadi subjektif, cuma pemarkahannya saja yang kadang-kadang sukar dibuat secara objektif iaitu menjadi subjektif. Cara pemarkahan pertama yang boleh digunakan oleh guru di sekolah ialah cara pandangan sepintas lalu. Cara yang kedua yang lebih saintifik ialah cara analitis.

10.6.1 Cara Pandangan Sepintas Lalu

Cara ini dilakukan dengan membaca esei tersebut dan memberi gred nilainya menurut beberapa kategori seperti cemerlang (A), baik (B), sederhana (C), lemah (D) dan gagal (G). Gred diberi semata-mata kepada esei itu berasaskan ‘pandangan’ saja. Kesukaran dihadapi oleh guru terutama, mereka yang baru mengajar kerana, tidak ada ukuran daripada pengalaman untuk memastikan gred yang ingin diberi itu tepat. Lagipun pandangan dan rasa penilai berbeza dari semasa ke semasa yang lain.
Cara ini agak popular diamalkan oleh guru bahasa Malaysia di peringkat sekolah menengah, untuk memeriksa esei ialah secara rambang. Satu norma baku ditentukan berdasarkan prestasi pelajar yang menghasilkan esei berkenaan. Biasanya pemberian markah mengikut cara ini eloklah dilakukan oleh seorang pemeriksa saja supaya markah yang diberinya itu konsisten dan tidak wujud perbezaan dengan penilai lain. Tajuk esei yang sama harus disemak pada waktu yang sama, agar pandangannya seragam dan munasabah. Guru memberi markah dengan cara sekaligus. Cara ini tidak menggunakan skema pemarkahan.

10.6.2 Cara Analitis

Cara ini mengambil beberapa ciri esei berkenaan sebagai asas untuk diberi markah. Untuk memudahkan guru yang memeriksa esei tersebut, biasanya satu skema pemarkahan disediakan. Akan tetapi, skema pemarkahan tersebut hanya merupakan satu panduan, seorang pemeriksa masih perlu bersikap rasional dan terbuka semasa mempertimbangkan isi dan hujah yang di luar skema pemarkahan. Perkara seperti ejaan, penggunaan aspek bahasa, keaslian esei haruslah diberi kewajaran di dalam skema pemarkahannya. Sebaik-baiknya seorang pemeriksa harus mempertimbangkan lima komponen am sesuatu penulisan seperti di bawah (D.P. Harris, 1969).

1. Skema Pemarkahan

Penilaian guru ke atas karangan bahasa Malaysia mestilah berpandukan kepada satu skema tertentu. Skema pemarkahan mengandungi kriteria tertentu sebagai kayu ukur untuk menilai serta menentukan mutu sesuatu aspek atau demensi penulisan dan seterusnya menilai seluruh karangan itu. Skema pemarkahan hendaklah dibina berdasarkan tujuan-tujuan penulisan seperti yang dinyatakan dalam Sukatan Pelajaran Bahasa Malaysia untuk Tingkatan I-III Atau Tingkatan IV-V atau Tingkatan VI. Sebagai contoh; karangan bahasa Malaysia seorang pelajar menengah atas (Tingkatan IV-V)patutlah dinilai daripada ada tiga segi kebolehan, iaitu:

(1) isi
(2) penyusuan, dan
(3) bahasa

Dari segi isi, guru hendaklah menaksir perkaitan dan kerelevanan isi dan bahan dengan tajuk karangan. Dari segi penyusunan, guru hendaklah menilai kebolehan pelajar untuk menyusun dan menstruktur isi dan bahan di dalam satu keseluruhan yang wajar dan menarik. Manakala dari segi bahasa pula, guru hendaklah menggunakan gaya yang menarik.

2. Darjat Pemarkahan Menurut Koh Boh Boon (1981)

Pemarkahan boleh terdiri daripada tiga darjat iaitu cemerlang, sederhana dan lemah. Dari segi isi, kriteria bagi darjat masing-masing adalah disenaraikan di bawah:

Cemerlang : Idea pokok dibincang secara jelas, dan disokong dengan jelas
dan disertakan dengan butir-butir yang konkrit dan bersangkutan.

Sederhana : Idea pokok dibincang tetapi terlalu ringkas dan am.
Perbincangan disokong dengan butir-butir konkrit tetapi kadang
kala butir-butir itu diulang, dan tidak berkait atau tidak lengkap.

Lemah : Idea pokok kurang jelas, keliru, atau tidak disokong dengan
butir- butir konkrit dan tidak berhubungan.

Syarat-syarat dari segi penyusunan adalah seperti berikut:

Cemerlang : Tema dikembangkan dengan teratur selangkah demi selangkah;
perenggan-perenggannya adalah bersepadu, dan satu perenggan beralih ke perenggan yang lain dengan licin. Perenggan berkenaan dikembangkan secara menarik dan seimbang dengan penekanan yang wajar.

Sederhana : Pelan tema kadang kala tidak teratur, diperkembangkan secara
tidak seimbang atau memberi penegasan yang tidak sesuai; perenggan berkaitan tetapi peralihan dari satu perenggan ke satu perenggan lain kadang kala tidak licin dan membosankan.
Lemah : Tema tidak dikembangkan atau dikembangkan dengan tidak
konsisten, tidak kena-mengena dan diulangi; perenggan-perenggan tidak bertalian dan peralihan dari satu perenggan ke satu perenggan lain adalah tidak jelas dan tidak berkesan.

Dari segi bahasa, kriteria-kriteria berikut patutlah digunakan:

Cemerlang : Ayat-ayat dibina dengan baik: bersepadu, berkesan dan
menggunakan berbagai ragam. Perkataan-perkataan dipilih dan digunakan dengan sangat berkesan: menarik, tepat dan penuh dengan bunga bahasa. Penggunaan tatabahasa, tanda bacaan dan ejaan yang baku.
Sederhana : Ayat-ayat digunakan secara betul tetapi tidak bersifat luar biasa
dan juga kadang kala bersifat seragam saja. Perkataan-perkataan dipilih dan digunakan secara sesuai: jelas dan kadang kala berbunga. Kadang kala terdapat penyelewengan dari tatabahasa, tanda baca dan ejaan baku.

Lemah : Ayat-ayat tidak bersepadu, tidak berlainan, keliru, tidak
sempurna dan membosankan. Perkataan-perkataan dipilih dan digunakan dengan tidak munasabah: kabur, tidak berbunga bahasa atau kurang baku. Penglahiran idea-idea terhalang kerana sering terdapat penyimpangan daripada tatabahasa, tanda baca dan ejaan yang baku.

Dengan itu, Koh telah membina satu skema pemarkahan untuk menilai karangan bahasa Malaysia Tingkatan IV dan V. Setiap aspek penulisan, iaitu isi, penyusunan dan bahasa diberi markah antara satu hingga sepuluh. Kerangkanya adalah seperti berikut:

Darjat Gred Markah Markah
Pecahan Keseluruhan

Cemerlang A 10 28-30
B 8-9 24-27
Sederhana C 6-7 18-23
D 4-5 12-17
Lemah E 3 9-11
F 1-2 1-8

0 comments: